Monday, April 11, 2011

Pendekatan Pengajaran Dan Pembelajaran

PENDAHULUAN

Bagi seseorang yang baru menjejak kakinya dalam arena pengajaran malah ramai guru yang berpengalaman, konsep pendekatan, strategi, kaedah serta teknik pengajaran amat sukar dibeza-bezakan. Apa lagi terdapat orang yang menganggap bahawa semua istilah tersebut adalah sama dengan cara pengajaran sahaja. Ini adalah suatu perkara yang harus diberi perhatian yang serius kerana konsep-konsep tersebut adalah merupakan asas untuk membentuk sesuatu rancangan pelajaran harian yang sempurna oleh seseorang guru. Penjelasan tentang perhubungan di antara keempat-empat konsep adalah amat berguna bagi guru-guru pelatih yang menjalankan latihan mengajar supaya ilmu pedagogi yang dipelajari itu dapat diamalkan dalam bilik darjah.
Rencana ringkas ini bertujuan memberi sedikit sebanyak penjelasan tentang pendekatan, strategi, kaedah serta teknik pengajaran serta hubungan di antara satu sama lain. Walau pun difikirkan bahawa konsep-konsep itu merupakan asas dalam perbincangan pedagogi tetapi kebanyakan pengarang buku pedagogi masih samar-samar tentang konsep-konsep tersebut.
Untuk menjelaskan konsep-konsep tersebut, perbincangan akan bermula dengan kaedah pengajaran dan diikuti oleh teknik pengajaran. Selepas kita telah jelas mengenai kedua-kedua konsep tersebut maka kita akan meneliti konsep strategi serta pendekatan pengajaran. Akhir sekali kita akan mengulas perhubungan kesemua konsep tersebut dalam situasi pengajaran.

KAEDAH DAN TEKNIK

Sebelum kita membincangkan konsep kaedah pengajaran adalah eloknya kita memikirkan secara umum pengertian kaedah. Kaedah mengikut Kamus Dewan bermaksud cara atau aturan (membuat sesuatu), hukum atau prinsip. Justeru itu, sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat.
Lantaran itu, jika kita ingin memasak ikan maka kita perlu fikirkan apakah kaedah-kaedah memasak yang kita boleh gunakan. Sudah tentunya, kaedah-kaedah yang biasa kita gunakan ialah seperti menggoreng, merebus, memanggang atau mengukus. Begitu juga kalau kita diminta memberi kaedah-kaedah menyepak bola kita akan menyatakan kaedah-kaedahnya adalah seperti sepakan sering, sepakan tinggi, sepakan grounder, sepakan banana serta bermacam-macam lagi. Satu lagi contoh ialah jika kita ingin peri memburu harimau di dalam hutan, kaedah-kaedah yang kita boleh gunakan adalah seperti menembak dengan senapang, memanah, menjerat, menikam atau menombak.
Andaikan kita ingin memasak ikan dengan kaedah menggoreng. Maka sudah tentu kita perlu memiliki kemahiran-kemahiran yang khusus dalam menjayakan kaedah tersebut. Kemahiran khusus tersebut adalah dimaksudkan sebagai teknik. Sebab itu, bolehlah kita menyatakan bahawa semua kaedah mempunyai teknik-teknik tertentu yang disusun dengan sistematik. Umpamanya untuk menggoreng ikan, kita mesti memanaskan kuali terlebih dahulu sebelum mencurahkan minyak ke dalamnya. Untuk mengelakkan ikan melekat pada kuali, suatu lagi teknik ialah memasukkan sedikit garam ke dalam minyak yang telah panas di kuali. Api juga harus dikawal supaya tidak terlalu panas. Kesemua tindakan yang spesifik ini adalah disebut sebagai teknik menggoreng. Teknik-teknik untuk kaedah memasak ikan secara memanggang pula adalah amat berbeza.
Untuk menjelaskan lagi hubungan kaedah dengan teknik, kita boleh ambil contoh memburu harimau. Kalau kita hendak memburu harimau dengan kaedah memanah maka teknik-tekniknya adalah seperti meneliti arah angin, kemahiran memegang ibu panah, gerakan tangan untuk membuat sasaran, kedudukan kaki serta tindakan menarik nafas.
Dalam zama atom ini, sudah tentu kaedah memburu harimau dengan kaedah memanah tidak begitu berkesan. Jadi walau pun seorang pemanah itu betul-betul mahir dan telah menguasai segala teknik memanah dengan seratus perstus, maka kemungkinan besar ia dimakan oleh harimau. Itu sebabnya kaedah memburu yang dipilih adalah kurang sesuai walaupun teknik-teknik kaedah itu adalah baik.
Oleh itu, untuk menjayakan sesuatu yang kita ingini kaedah yang dipilih mestilah disertai dengan teknik-teknik yang betul. Memilih kaedah yang tepat tanpa menguasai teknik-teknik yang baik menurut kaedah tersebut tidak akan menjaminkan tercapainya matlamat kaedah yang diingini.

KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN

Kaedah pengajaran adalah terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan yang tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala aktiviti seseorang untuk menghasilkan perubahan tindkah laku yang agak kekal dalam diri seseorang yang lain. Lantaran itu, kaedah-kaedah pengajaran adalah seperti cercerita, perbincangan, bermain, latih tubi, main peranan, menyelesaikan masalah, brain storming, perbahasan, kuiz, lakonan, projek, soalan atau Socratik dan lain-lain lagi.
Teknik-teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada apda sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil.
Misalnya katakanlah seorang ingin menggunakan kaedah bercerita untuk mengajar sesuatu tajuk pelajaran. Teknik-teknik bercerita yang dimaksudkan ialah kawalan nada suara, penggunaan alatan yang berkenaan, kemahiran mengekalkan minat murid, gerrakan tangan "facial expression", serta kedudukan murid-murid semasa aktiviti bercerita itu berlangsung.
Kaedah mengajar seperti syarahan juga mempunyai teknik-teknik yang tersendiri. Teknik-teknik syarahan adalah seperti mempelbagaikan nada sera kadar percakapan, bahasa yang sesuai, penggunaan OHP, garis kasar kuliah yang disampaikan, menyoal soalan-soalan yang mencabar pemikiran pelajra dan lain-lain lagi.
Satu lagi contoh kaedah mengajar ialah kaedah soalan. Jika kita ingin mengajar dengan kaedah soalanmaka kita pelu menggunakan teknik-teknik menyoal yang baik seperti soalan-soalan yang ditanya haruslah jelas dan tepat, pelajar-pelajar diberi masa untuk memikirkan jawapan soalan sebelum sesiapa dipanggil untuk menjawab, layanan yang munasabah bagi semua tindak balas daripada murid, suara haruslah jelas, mempelbagaikan soalan-soalan yang ditanya dan sebagainya.
Jadi jika kita hendak mengajar seseorang berenang kita haruslah memilih kaedah-kaedah yang sesuai. Kaedah seperti perbincangan serta syarahan sudah tertentu tidak berkesan. Kaedah pengajaran seperti demostrasi adalah lebih sesuai. Meskipun demikian, untuk memastikan bahawa demostrasi itu berjaya kita mesti menguasai teknik-teknik demostrasi.
Sebagai kesimpulan, bila kita sebut teknik pengajarankita mesti bertanya teknik pengajaran untuk kaedah apa. Setiap kaedah pengajaran mesti mempunyai teknik-teknik yang tertentu.

PENDEKATAN

Pendekatan biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk menuju sesuatu sasaran. Dalam pengertianyang lebih luas pendekatan juga diertikan sebagi "to come near to in any sense" atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu. Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau generalisasi yang tertentu.
Sebagai contoh, pendekatan-pendekatan memasak ikan yang kita boleh gunakan ialah seperti pendekatan Timur atau pendekatan Barat. Bagi pendekatan Barat, kita dapati keutamaan ditegaskan pada nilai kalori, nilai makanan dari segi zat makanan dan ciri-ciri makanan seimbang. Bagi pendekatan Timur pula, keutamaan adalah diberi kepada rasa seperti rupa makanan tetapi tidak begitu mementingkan nilai kalori atau ciri-ciri makanan seimbangan. Pendekatan Barat ini adalah amat berkaitan dengan perkembangan sains dan teknologi pemakanan yang mempunyai prinsip-prinsip makanan serta hubungannya dengan kesihatan.
Suatu lagi contoh tentang pendekatan melakukan sesuatu ialah pendekatan seseorang dalam belajar bermain tenis. Dia boleh menggunakan pendekatan profesional atau pendekatan konvensyenal (tradisional atau acquired) atau biasa. Bagi pendekatan profesional, semua kaedah bermain dipelajari berdasarkan prinsip-prinsip sains yang sangat bersistematik. Manakala bagi pendekatan konvensyenal, kaedah-kaedah bermain dipelajari berdasarkan pengalaman, perbincangan informal serta dengan pemerhatian.

PENDEKATAN PENGAJARAN

Pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Pendekatan-pendekatan wujud berdasarkan aspek-aspek pengajaran yang kita ingin utamakan atau memberi perhatian yang lebih utama. Sebab itu ada kalanya pendekatan meyerupai klasifikasi pengajaran di mana jenis-jenis pendekatan wujud berdasarkan kriteria-kriteria yang kita gunakan untuk meneliti proses pengajaran. Pendekatan-pendekatan pengajaran boleh digolongkan mengikut cara pengelolaan murid, cara-cra fakta disampaikan, keaktifan pengajaran atau pelajar, pengajaran bahasa dan pengajaran mata pelajaran lain.
Pendekatan pengajaran yang berasaskan pengelolaan murid adalah seperti pendekatan individu, pendekatan pasangan, pendekatan kumpulan, pendekatan kelas, pendekatan kelas bercantum dan sebagainya. Pendekatan yang dimaksudkan di sini tidak menyentuh tentang kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran. Guru adalah bebas memilih kaedah yang difikirkan wajar bagi setiap pendekatan tersebut.
Berdasarkan kriteria bagaimana isi pelajaran disampaikan maka terdapatlah pendekatan induktif, pendekatan deduktif, pendekatan eklektik, pendekatan dari segi isi mudah ke isi susah dan pendekatan dari isi maujud ke isi abstrak.
Pendekatn yang memberi tumpuan kepada pengajar disebut sebagai pendekatan memusatkan guru manakala pengajran yang mementingkan murid disebut sebagai pendekatan memusatkan murid. Kaedah-kaedah yang seiring dengan pendekatan yang memusatkan guru adalah seperti kaedah syarahan dan kaedah demonstrasi manakala kaedah-kaedah pengajaran yang selari dengan pendekatan pengajaran yang memusatkan murid adalah seperti kaedah menyelesaikan masalah, kaedah bermain dan kaedah perbincangan kumpulan.
Terdapat juga pendekatan-pendekatan yang digunakan untuk mengajar beberapa mata pelajaran mengikut tema-tema pelajaran. Contohnya pengajaran dalam Alam dan Manusia menggunakan perdekatan interdisiplin atau pendekatan bersepadu. Ini adalah kerana beberapa mata pelajaran seperti Sejarah, Geografi dan Kesihatan digabungkan menjadi suatu mata pelajaran yang baru. Pendekatan ini adalah sama dengan pengajaran Sains Panduan di mana Biologi, Fizik serta Kimia digabungkan dan diajar mengikut tema-tema tertentu.
Akhirnya dalam pengajaran bahasa terdapat pendekatan-pendekatan seperti pendekatan komunikasi, pendekatan situasi, pendekatan psiko-linguistik, pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Pendekatan-pendekatan ini timbul berasaskan teori-teori pembelajaran yang berbentuk mentalis atau behavouris. Contohnya jika kita mengikut teori mentalis atau kognitif maka pendekatan yang digunakan adlah seperti pendekatan terjemahan dan pendekatan nahu. Bagi teori behavouris atau S-R maka pendekatan pengajaran yang digunakan adalah pendekatan komunikasi dan situasi.
Rumusan yang boleh dibuat ialah pendekatan merupakan sesuatu yang agak umum dan ia seolah-olahnya menunjukkan sesuatu haluan tetapi tidak menerangkan bagaimana caranya untuk menuju haluan itu. Cara-cara yang digunakan untuk menuju arah yang ditetapkan oleh sesuatu pendekatan pengajaran adalah kaedah-kaedah pengajaran.

STRATEGI

Strategi boleh diibaratkan sebagai suatu susunan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan tenaga, masa serta kemudahan secara optimum. Seseorang panglima tentera harus memikirkan strateginya untuk mempertahankan kedudukannya atau menyerang kubu musuhnya.
Sebagai contoh, katakanlah perang tercetus di antara Malaysia dan Singapura. Seorang panglima Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk menyerang dan menawan Singapura terpaksa merancang strategi peperangannya. Dia harus memikirkan apakah pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk menyerang pihak musuh. Adakah kita menggunakan tentera udara atau tentera laut? Adakah kita mengebom sasaran-sasaran pertahanannya terlebih dahulu sebelu menghantar angkatan tentera darat diikuti oleh angkatan tentera laut. Susunan serta urutan kaedah yang dirancangkan mengikut kekangan logistik adalah disebut sebagai strategi peperangan.
Andaikan kita menggunakan contoh memasak ikan semula. Kalau kita ingin memasak seekor ikan yang agak besar (5 kilogram) kita perlu merancangkan strategi memasak supaya kita dapat kepuasan dan faedah yang paling banyak dengan menggunakan masa, tenaga erta sember yang paling minimum. Di sini kita perlu merancangkan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk memasak ikan tersebut. Umpamanya adalah kita menggoreng kepalanya, merebus ekornya, memanggang tulang diikuti dengan mendidihnya dalam sup, menjerut telurnya dan sebagainya. Kaedah manakah yang kita buat terlebih dahulu? Pendekatan timur atau barat yang patut diikuti untuk memasak? Rancangan yang lengkap ini boleh disebut sebagai strategi memasak.
Bagaimana dengan strategi memburu harimau pula? Kita telah membincangkan kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk memburu harimau. Jadi bagaimanakah rancangan kita untuk menggabungkan kaedah-kaedah tersebut seupaya harimau itu dapat diburu dengan mudah. Adakah kita memagar kawasan yang didiami oleh harimau dan menahan jerat pada kawasan-kawasan tertentu. Apabila harimau telah terjerat, barulah kita menembaknya. Atau perlukah kita menghadkan makanan harimau untuk melapar dan meletihkannya kemudian membunuhnya dengan lebing.
Untuk memenangi sesuatu pertanding badminton, seseorang pemain bukan sahaja perlu menguasai segala kaedah untuk menghantar bola tangkis kepada lawannya tetapi a juga perlu merancangkan strategi permainan itu. Strategi permainan adalah seperti bermain secara defence pada pemainan pertama untuk meletihkan musuh dan kemudiannya menyerang dengan secara smash yang kencang pada pemainan kedua. Adakah dia sengaja bermain sebanyak 3 atau 2 pemainan sahaja. Jika pemain itu menguasai semua kaedah menghantar bole tangkis dengan sempurna tetapi strategi permainannya tidak sesuai mana ia akan ditawan. Oleh sebab itu, ada kalanya pasukan yang mahir dalam semua kaedah permainan dikalahkan sebab strategi permainan tidak sesuai.

STRATEGI PENGAJARAN

Untuk mencapai objektif-objektif pengajaran, seseorang guru biasanya menggunakan gabungan berapa pendekatan serta kaedah mengajar tertentu. Rancangan gabungan pendekatan dan kaedah serta turutan pendekatan dan kaedah itu dilaksanakan merupakan strategi pengajaran.
Sebagai contoh, untuk mengajar sebuah kelas berenang, strategi pengajaran harus mempertimbangkan pendekatan yang digunakan serta kaedah-kaedah yang perlu digunakan. Adakah kita gunakan pendekatan individu atau pendekatan kumpulan kecil? Bila kita menerangkan cara-cara berenang kepada pelajar patutkah kita gunakan pendekatan induktif atau pendekatan deduktif? Di samping itu, apakah kaedah pengajaran yang boleh kita gunakan. Antara kaedah syarahan, kaedah demostrasi dan kaedah latih tubi yang manakah kita gunakan terlebih dahulu? Bagaimanakah kombinasinya? Ringkasnya rancangan yang lengkap yang mengandungi pendekatan dan kaedah adalah strategi mengajar yang dimaksudkan.
Peranan strategi pengajaran adalah lebih penting lagi jika kita mengajar pelajar-pelajar yang berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan serta minat yang berbeza-beza. Kita perlu rancangkan pendekatan dan kaedah yang digunakan untuk mengajar kumpulan-kumpulan yang berbeza-beza itu. Contohnya, dalam bilik darjah KBSR yang biasanya terdiri daripada kumpulan lemah, kumpulan serdahana serta kumpulang cergas. Guru terpaksa memikirkan strategi pengajaran yang terdiri daripada pelbagai kaedah mengajar untuk memenuhi keperluan semua kumpulan. Di samping itu, setiap bilik darjah mempunyai halangan serta rintangan-rintangan yang tersendiri seperti keadaan fizikal, kemudahan bilik darjah, nilai, norma serta latar belakang sekolah dan murid. Lantaran itu, seseorang guru bukan sahaja mesti menguasi berbagai-bagai kaedah mengajar tetapi yang lebih penting lagi ialah bagaimana mengintegrasikan serta menyusun kaedah-kaedah itu untuk membentuk strategi pengajaran yang paling berkesan dalam pengajarannya.
Kita biasanya mendengar pendapat bahawa tiada terdapat mana-mana kaedah yang paling baik sekali. Ini amat benar kerana kaedah-kaedah mengajar mestilah diatur untuk membentuk strategi pengajaran mengikut keadaan di mana proses pengajaran itu berlaku. Jelasnya sesuatu kaedah pengajaran tidak menjaminkan pencapaian matlamat pengaajaran. Yang lebih penting adalah interaksi kaedah itu dengan kaedah-kaedah lain.
Ada dua perkataan yang hampir-hampir sama maksudnya dengan kaedah dan ia memang tergolong dalam kaedah juga, iaituteknik dan pendekatan. Mok Soon Seng (1992) mengatakan pendekatan ialah cara mendekati sesuatu mata pelajaran. Iaitu cara bagaimana suatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya. Jadi ia merupakan satu set teori yang sistematik. Kaedah pula ialah satu siri tindakan yang sistematik dengan tujuan mecapai objektif pelajaran dalam jangka masa pendek. Kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah penyampaian yang tersusun (Mok Soon Seng 1992). Manakala teknik pula ialah kemahiran guru dalam pengelolan dan pelaksanaan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Mengikut Azman Wan Chik (1987) teknik itu apa yang dilihat dalam bilik darjah. Kalau guru mengajar bahasa dengan menggunakan alat-alat komunikasi canggih dalam makmal bahasa, maka itu satu teknik. Sekiranya seorang guru Pendidikan Islam mengajar pelajar menghafaz Al-Qur`an dengan mendengar bacaan dalam pita kaset, maka ini dikatakan teknik.
Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) mengatakan bahawa kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur. Hasan Langgulung (1981) pula mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi, apa saja cara yang guru lakukan untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran, maka itu adalah kaedah. Melihat kepada misal-misal yang diutarakan oleh Sharifah Alwiah Alsagoff (1986), Mok Soon Seng (1992), Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib (1995), Atan Long (1980) dan Mahfudh Salahuddin (1987), nampaknya yang dikatakan kaedah itu ialah yang ada nama, seperti kaedah kuliah, demonstrasi, Socrates, simulasi, inquiri penemuan, Forebel dan sebagainya.
Abu Saleh (1988) mengatakan bahawa kaedah itu ialah satu aktiviti pengajaran yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam tiap-tiap langkah itu pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang. Padanya, kaedah mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran, tetapi ia merupakan wasilah, iaitu satu jalan untuk mencapai obektif pengajaran.
Demikian juga dengan Hasan Langgulung (1981) mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan. Jadi apa sahaja cara tiandakan dan aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran maka itu adalah kaedah, walau pun ia tidak mempunyai nama-nama khas, seperti yang dibawa oleh Sharifah Alwiah, Atan Long (1981) dan lain-lain.
Berdasarkan kepada ini bermakna tidak ada satu kaedah yang terbaik untuk semua mata pelajaran bagi semua pelajar dalam semua keadaan. Kaedah harus berubah mengikut keadaan masa, tempat dan pelajar. Dengan demikian, guru harus pandai memilih kaedah yang baik, yang sesuai dengan keadaan masa, tempat dan pelajar.
Al-Kailany (1986) menyenarai sedikit panduan kepada guru sebelum mengaplikasi sesuatu kaedah pengajaran, antaranya ialah:
1. kaedah mestilah secucuk dengan tujuan dan matlamat pelajaran
2. kaedah mesti sejajar dengan objektif pelajaran yang
hendak dicapai
3. kaedah juga haruslah sesuai dang tabiat (nature) pelajaran
yang diajar
4. kaedah mesti sepadan atau setara dengan umur pelajar
5. kaedah itu mestilah yang boleh atau mampu diaplikasi oleh guru
6. mempunyai masa yang cukup untuk mengaplikasikan kaedah
bekenaan
7. kaedah yang dipilih mestilah sesuai dengan kemudahan yang
ada.
An-Nashmy (1980) mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar yang diajar, malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar. Dengan cara ini pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama. Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik.
Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai. Di samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas. Strategi pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Congelosi (1992) mencadangkan bahawa setiap pengajaran harus terlebih dahulu disediakan rancangannya dan dalam rancangan pengajaran ini harus mempunyai perkara-perkara berikut, iaitu:
1. Tujuan am (learning goal)
2. Objektif pelajar (specific objective)
3. Langkah-langkah pengajaran yang mengandungi aktiviti-aktivit
tertentu untuk menolong pelajar mencapai objektif pelajaran
4. Perlu ada makanisma untuk memantau kemajuan pelajar
5. Penilaian (sumative evaluation) untuk mengukur
pencapaian pelajar
Kata Cangelosi (1992):
Learning goal is the overall purpose of the teaching unit. It indicates what students are expected to learn.
Specific objective, define the learning goal. That is a number of specific skills, abilities, and/or attitude that the student to/or must acquire. (ms. 24)
Perrott (1986) menerangkan semua aktiviti itu dalam tiga istilah yang lebih mendasar, iaitu:
Planning
Implementation
Evaluation
Tiga perkara ini dan juga langkah-langkah yang dikemukakan sebelum ini merupakan asas pengajaran yang berkesan, di sampiang pengetahuan yang patut ada pada guru. Langkah-langkah ini disusun demikian rupa untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran sesuatu yang menarik dan berkesan. Ini yang dikatakan pengajaran yang berkesan (effective teaching). Pengajaran dan pembelajaran yang baik, menarik dan berkesan tidak dapat diwujudkan jika tidak memenuhi kriteria tertentu seperti yang dibincangkan di atas. Guru yang mampu menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ini ialah guru yang didikasi, mempunyai wawasan yang jelas dan mengajar dengan penuh semangat untuk mencapai objektif yang terancang dengan langkah-langkah yang tersusun dengan menggunakan BBM yang menarik dan dengan pergerakannya yang cukup lincah. Inilah dia guru yang efektif (effective teacher).
“…effective teacher is one who is able to demonstrate the
ability to bring about intended learning goals”. 
Parrott (1986:5)
Oleh itu, guru haruslah merancang dengan cukup rapi sebelum memasuki kelas. Ini termasuklah strategi pengajaran yang merangkumi isi kandungan, objektif yang hendak dicapai, pendekatan, kaedah dan teknik penyampaian, BBM yang sesuai dan penilaian yang akan dijalankan. Satu yang perlu diingatkan ialah tentang pendidikan Islam atau penerapan nilai Islam. Ini juga harus dirancang dengan saksama. Iaitu apa yang hendak dipesan kepada pelajar, apa nasihat yang akan diberi, apa nilai yang hendak ditonjokan supaya pelajar ikut dan contohi dan sebagainya. Guru harus sedar bahawa mata pelajaran Pendidikan Islam bukan sahaja untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk menjadi seorang Islam yang beramal dengan ajaran Islam dengan cara yang betul.
Jadi, penekanannnya ialah penghayatan Islam, bukannya peperiksaan. Kalau guru mengajar terlalu terikat dengan orientasi peperiksaan, guru hanya berjaya menyampaikan ilmu Islam, tetapi gagal memberi pendidikan Islam, iaitu gagal mendidik anak-anak untuk menjadi orang Islam bagi memikul tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah.
Demikian juga dengan istilah guru berkesan (effective teacher). Ia bukan sahaja memberi kesan dalam bidang pelajaran yang diajar, mudah faham dan diminati oleh pelajar, tetapi yang boleh menjadi contoh kepada pelajar dari segala aspek personaliti, kerana personaliti guru mempengaruhi sikap pelajar (Huitt, 1994). Ini termasuklah gaya bercakap, kekemasan berpakaian, penghayatan nilai Islam, penjagaan masa pengajaran (engagement time), ketepatan masa dalam setiap perjanjian, keadilan dalam layanan dan sebagainya. Ini semua mencerminkan guru muslim (Al-Ghazali, 1988; Al-Ibrashy, 1976).

KESIMPULAN

Kesimpulan yang boleh dibuat setakat ini ialah sesuatu strategi pengajaran menggabungkan pelbagai kaedah dan pendekatan pengajaran untuk mencapai kesan pengajaran yang optimum sekali. Strategi yang baik akan menggunakan masa, tenaga serta kos yang paling sedikit tetapi menghasilkan kesan pengajaran pembelajaran yang paling maksimum

No comments:

Post a Comment